Wednesday, April 27, 2011

Ranah 3 Warna


Anak-anakku…

Akan tiba masanya kamu dihadang badai dalam hidup. Badai itu boleh jadi luar diri kamu, boleh jadi badai dalam diri kamu. Hadapilah dengan tabah dan sabar, jangan lari. Badai pasti akan berlalu.

Anak-anakku…

Badai paling dahsyat dalam sejarah manusia adalah badai jiwa, badai rohani, badai hati. Inilah badai dalam perjalanan menemui dirimu yang sejati. Inilah badai yang mampu membongkar dan menghempaskan iman, logic, kepercayaan diri dan tujuan hidup. Akibat badai ini boleh jadi leih hebat daripada badai fizikal. Menangilah badai rohani dengan iman dan sabar, kamu akan menjinakkan dunia akhirat.

Anak-anakku…

Apabila badai datang, hadapi dengan iman dan sabar. Laut yang tenang adalah untuk dinikmati dan disyukuri. Sebaliknya laut yang rebut adalah untuk ditakluki, bukan ditangisi. Bukankah karakter pelaut handalan ditatah oleh badai yang silih berganti ketika melintas lautan tidak bertepi?

Kiai Rais,

Pondok Madani.

Setelah hampir 6 bulan membiarkan blog ini bersawang, akhirnya Alhamdulillah aku berkesempatan menulis. Macam2 yang nak dinukilkan, tapi semuanya masih lagi berterbangan dalam kepala...mungkin berkarat kot. tapi untuk entry kali ini aku cuma nak bagitau buku kedua A.Fuadi memang bestt!! kalau sebelum ni 'Negeri 5 menara' mengisahkan inspirasi remaja dan cita-cita mereka. sambungan novel dengan 'ranah 3 warna' memaparkan kesusahan dan kepayahan untuk meggapai cita-cita dan impian. rupanya bermimpi itu indah, berangan-angan dan berimpian itu menyenangkan, tapi untuk merealisasikannya memerlukan pengorbanan, memerlukan kesabaran, memakan masa yang lama dan bermacam lagi kepahitan yang perlu ditempa. Banyak lagi la manfaat yang boleh kita dapat daripada pengalaman penulis yang digarap dengan baik oleh penulis. Selamat membaca!


Erti Kehidupan


**13 Julai 2017**

Hari ini aku melangkah gagah, semua mata tertumpu kepadaku. Hari ini hari bersejarah, untuk diriku dan juga untuk tanah airku. Akulah wanita pertama yang menjadi Menteri Pertanian dan Perladangan di negara Pasir Berdengung. Sungguh, sebelum ini, tiada siapa yang layak untuk menduduki takhta ini. Aku lihat ibu dan adik-adikku tersenyum lebar di kerusi pemerhati. Dari malam tadi, telefon bimbitku tidak henti-henti menjerit dengan panggilan masuk serta mesej. Semuanya mengucapkan tahniah dan tak kurang juga yang mengingati tanggungjawab yang akan dipikul olehku. Hari ini aku rasa kebesaran-Mu ya Allah, aku merasai Rahmat dan Kasih sayang-Mu. Benarlah kata ustazku, “Man jadda, wajada”, sesiapa yang berusaha ia akan Berjaya.

Setelah beberapa ketika, namaku dipanggil untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Pertanian dan Perladangan di hadapan Yang Di-Pertua Agung. “Cik Husna bt Ibrahim dijemput menghadap”. Aku mengayunkan langkah dengan penuh hati-hati, maklumlah di hadapan orang tertinggi negara. Kutundukkan sedikit kepala, seterusnya mengikut bacaan sumpah setia sebagai pemimpin negara untuk melaksanakan tanggungjawab. “Saya berjanji akan melaksanakan semua tanggungjawab saya dengan sebaiknya, segala yang dilakukan adalah untuk kebaikan negara yang tercinta”. Aku mengakhiri lafaz ikrarku dengan Hamdallah. Maha Suci Allah yang berkuasa menjadikan tiap sesuatu.

Tamat acara mengangkat sumpah, aku dikerumuni oleh wartawan dalam dan luar negara untuk ditemuramah. Aku dihujani berbagai-bagai soalan, ada soalan yang positif tak kurang juga soalan provokasi dengan mengatakan mampukah seorang wanita menjadi sebahagian daripada pentadbir negara. Pelik bukan, Allah mengurniakan akal kepada semua lelaki dan wanita. Apa yang menjadi masalahnya jika wanita menjadi pemimpin negara. Akal yang dikurniakan oleh Allah itu seharusnya dioptimakan dengan sebaiknya untuk masa depan dakwah dan Islam. Walau apapun soalan yang berlaku, aku cuba menjawab dengan sebaiknya. Menjawab dengan penuh hati-hati supaya tidak menampakkan kelemahanku sebagai pentadbir negara.

Mesti pembaca tertanya-tanya, apa yang seronok dan nak dibanggakan menjadi sebahagian pentadbir negara. Ye la, mungkin pada negara orang lain, wanita menjadi pemimpin adalah perkara biasa, namun tidak pada negara Pasir Berdengung. Wanita selalunya dianggap golongan kelas kedua, mesti mendahulukan lelaki. “Ar Rijalu qawwamu na ‘alannisa’ ”. Ada pendapat mengatakan lelaki itu ketua kepada wanita, namun aku masih ingat, naqibku pernah menerangkan bahawa, ar-rijal itu bermaksud (siapa-siapa yang mempunyai kemampuan – tidak kira lelaki atau perempuan) mampu menjadi pemimpin kepada yang lain. Ya, sampai hari ini aku mengingati penerangan dari naqibku. Bukan soal lelaki atau perempuan, tetapi soal kemampuan untuk mengemudi tanggungjawab itu yang lebih utama. Bukan bermaksud aku ini pejuang feminism, aku cuma tidak ingin memandang rendah pada diri sendiri. Setiap apa yang Allah jadikan tidak pernah sia-sia. Mesti ada hikmahnya, hatta sekecil cacing ditanah pun ada fungsinya untuk alam, inikan pula manusia yang Allah kurniakan akal fikiran, nikmat Islam dan Iman yang tidak terhingga, menyebabkan aku memandang tinggi nilai kehidupan itu sendiri.

***

Setelah seharian di pejabat, menelaah semua fail dan kes-kes yang tertangguh, rasa kantuk telah menguasai diriku. Kugagahkan diri untuk menghabiskan beberapa buah fail lagi, esok aku mesti membuat perubahan. Paling kurang, aku sudah dapat membuat senarai permasalahan untuk kementerian yang kupegang kini. Aku tidak mahu menangguhkan urusan umat. Bukan sedikit masalah di kementerian ini, daripada petani-petani miskin hinggalah ke syarikat konsortium besar. Semua mempunyai permasalahan dan kes yang berbeza. Bila disebut petani kecil, mereka ini golongan yang selalu berharap mendapat habuan daripada kerajaan, budaya makan suap yang diajar oleh kerajaan sebelum ini telah menebal di dalam diri mereka. Namun aku tidak boleh salahkan mereka sepenuhnya, mereka juga sangat kekurangan pendedahan tentang kemajuan dan teknologi pertanian yang ada. Bila difikirkan pula tentang syarikat besar monopoli, aku serabut dengan kes-kes rasuah dan pecah amanah mereka. Tidak mematuhi undang-undang, semua diselesaikan atas angin menyebabkan banyak masalah menjadi makin parah.

Aku bangun menuju ke bilik rehat, aku mencapai vico 3 in 1, dan kumasukkan dengan air panas. Hm…rasa segar pula dengan bau vico ni, detik hatiku. Aku membawa gelas air ke bilikku semula. Aku mengambil remote control dan membuka televisyen, sekadar untuk melepaskan lelah. Kupilih-pilih saluran yang ada, akhirnya aku tertangkap dengan satu cerita, “cerita budak sekolah”. Dalam ralit menonton televisyen, fikiranku menerawang kembali kepada zaman persekolahanku…

Tahun 90-an

Aku kini berada di tahun enam sekolah rendah. Seperti kanak-kanak lain, tahun ini kami akan mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Aku tinggal di asrama bersama rakan-rakan yang lain. Mesti pembaca terkejut bukan? Aku hanyalah budak sekolah agama rakyat (SAR). Budak sekolah agama rakyat menjadi Menteri? Aku rasa kalau ketika ini, semua orang tahu cita-citaku, mesti aku digelakkan dengan sungguh-sungguh. Sekolah yang tidak ada masa depan, guru-gurunya juga bukan dari lepasan mana pun, sijil tertinggi mereka hanyalah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Berbeza dengan guru agama sekolahku, kebanyakan mereka lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dan Universiti Ummul Qura, Madinah.

Berbalik kepada peperiksaan yang akan dihadapi, sekolah menyediakan kelas tambahan waktu petang untuk mengukuhkan lagi kefahaman dan kecekapan kami untuk menjawab soalan. Yang aku tahu, setiap hari mesti membuat latihan matematik, mesti membuat karangan Bahasa Melayu. Mula-mulanya memang susah, tapi lama kelamaan kepalaku sudah boleh menerima semua bentuk soalan yang tersedia. Biasalah..sistem pendidikan akademik di Pasir Berdengung ini, exam oriented. Asal buat selalu, mesti pandai. Tapi berbeza pula dengan pelajaran agama, semuanya memerlukan penguasaan bahasa arab. Dari insyak, hadith, mutholaah, tauhid, tafsir dan sebagainya semuanya didalam Bahasa Arab. Dan yang paling menarik, 1 hari mesti menghafal 5 perkataan baru Bahasa Arab. Pernah sekali aku lupa untuk menambah perkataan hafazan arabku, maka penampar singgah di muka. Memang mengerikan!

Ketika ini aku mempunyai kawan-kawan seangkatan yang akan makan penampar disebabkan gagal menghafal. Aku, Nani dan Yani boleh diumpakan seperti kembar tiga. Ke mana sahaja mesti bertiga. Nani sangat cekap menghafal, kepalanya seperti computer, asal dapat tengok dan save memory, semua tidak akan dilupakan olehnya. Yani pula sangat bijak dalam pelajaran Sains dan Matematik. Aku? Cuma suam-suam kuku. Yang aku tahu, paling mudah adalah mengarang. Tak kisahlah Bahasa Melayu atau Bahasa Arab, kerana bagiku menulis itu mampu menyelesaikan semua masalah yang ada di muka Bumi ini. Kalau rasa sedih atau marah, tulis saja di kertas dan masukkan ke dalam botol. Selepas itu, botol itu dibaling jauh-jauh. Jadi semua masalah akan selesai. Mudahkan fikiranku?

Kata Yani, aku ni simple minded, semua benda jadi mudah. Tapi kadang-kadang masalah akan timbul juga disebabkan fikiranku yang mudah ini. Sebagai contoh, aku hanya akan menghafal perkataan-perkataan utama sahaja untuk nombor bahasa arab, ‘isyruna, thalathuna ila miatun. Aku masih ingat, semasa pelajaran Bahasa Arab, kami semua diminta untuk menghafal nombor 1 hingga seratus didalam Bahasa Arab. Malangnya, setelah menghafal, aku tidak jumpa jalan keluar untuk sampai ke seratus. Kulihat Nani dan Yani mudah sekali menghafal. Terus saja dapat duduk, aku pun dapat duduk juga, tapi di tengah padang bersama rakan seangkatan yang lain. Tapi bagiku itu perkara biasa, asal aku dah mencuba tidak kisahlah berjaya atau tidak. Yang penting sudah berusaha.

***

“Cik! Cik Husna! Tak nak balik lagi ke?” Setiausahaku mengejutkan aku dari lamunan. “Oh, tak mengapa, awak balik dulu, nanti setelah siap kerja saya, saya akan pulang”. Berapa lamalah aku mengelamun tadi, mesti dia melihat aku tersengih-sengih seperti kerang busuk. Argh... Biarlah…aku pun manusia juga. Aku meneruskan kerja-kerjaku yang masih berbaki. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Aku mengemaskan meja dan terus pulang ke rumah. Dalam perjalanan, baru aku teringat sesuatu. “Allah, ada usrah malam ini, mesti anak-anak usrahku sedang menunggu”. Aku segera memecut kereta untuk cepat sampai ke rumah. Memang aku sediakan rumahku untuk semua aktiviti dakwah. Semua mesyuarat dan perjumpaan boleh dibuat di situ. Dengan rezeki yang kumiliki, aku mampu membeli banglo yang besar dan mempunyai ruang yang luas untuk aktiviti mereka.

Aku tiba dirumah pukul 10.30 malam, mungkin disebabkan sudah lewat malam, jalan pun lengang. Jangkaanku tepat, semua anak usrahku telah tiba. Mereka sudah memahami diriku mungkin, aku sangat tidak suka kepada orang yang tidak menjaga masa. Membuat orang lain tertunggu-tunggu, seperti menzalimi mereka. Aku rasa ketegasanku tidak salah kerana ini memang sebahagian daripada ‘Muwassafat Tarbiyah’ yang perlu ada pada orang yang ingin membawa Islam. Usrah bermula jam 10.45 malam. Malam ini perbincangannya adalah Islam satu cara hidup. Ya, rata-rata semua orang tahu kenyaaan ini. Namun apa yang berlaku selalunya tidak sama dengan kefahaman yang mereka dokongi. Shila, salah seorang dari anak usrahku bertanya, “bagaimana ustazah, jika ada sahabat yang hanya mementingkan kerja-kerja dakwah sehingga terabai urusan akademik dan keluarganya? Adakah ini jalan hidup Islam?”. Aku tersenyum mendengar soalan ini, memang sudah kuagak akan ada soalan begini, aku mendapat tahu ada seorang daripada sahabat halaqah ini yang ‘gila kerja’ sehingga mengabaikan benda-benda lain. Jawabku mudah, “Islam is the way of life, so everything you do, you must be perform very well. Because, all of this, it’s our responsibility. Akademik ke, kerja dakwah ke, rakan-rakan sekuliah, pensyarah-pensyarah, dan keluarga merupakan tanggunggjawab kita. Mereka semua ada hak yang perlu ditunaikan, hak sebagai rakan, hak sebagai pelajar, hak sebagai ahli keluarga semuanya perlu dilunasi”. Terangku panjang lebar. “Tapi macam mana pula dengan kehidupan kita yang sentiasa sibuk? Kadang-kadang untuk urusan diri sendiri pun tidak mampu dibuat tepat pada masanya”. Pintas Shila lagi, aku hanya tersenyum, aku memberitahu mereka untuk membaca buku ‘Cinta di rumah Hasan al-Banna’, semua jawapan ada disitu. Buku itu patut dibaca oleh semua aktivis dakwah, ia menerangkan bagaimana Imam Hasan al-Banna mengikuti perkembangan anak-anaknya termasuklah beliau mengetahui bila waktu makan ubat jika anaknya sakit, beliau juga dapat mengetahui anaknya membaca komik.

Nah! Ini Hasan al-Banna, yang aku kira lagi sibuk dan besar tanggungjawabnya pada ummah. Apa sangat jika nak dibandingkan dengan kita yang tidak ada apa-apa jawatan dan tidak memegang organisasi yang besar. Aku harap apa yang aku cakapkan ini menjadi peringatan untuk mereka dan juga untuk diriku sendiri. Yang penting, jangan putus doa kepada Allah semoga dipermudahkan segala urusan, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia. Aku teringat ayat surah al-Baqarah ayat 284-286 yang bermaksud:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya, dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (mereka Berdoa): Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Beri keampunan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”

Kami menutup usrah pada malam itu dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr. Aku memanjatkan syukur kepada Allah kerana di dalam kesibukan masih mampu memberikan sesuatu untuk Islam. Ada orang memandang usrah itu tidak terlalu penting, tapi bagiku usrah adalah nadi untuk gerakan. Seorang naqib atau naqibah akan sentiasa dapat mengingati diri sendiri kerana selalu akan memberikan pandangan didalam halaqah usrah. Mahu tidak mahu, usrah mampu membimbing naqib atau naqibah secara tidak sedar untuk terus mengubah diri menjadi contoh yang baik. Setelah mereka semua pulang, aku termenung keseorangan. Betulkah aku sudah berjaya menjadi menteri? Bagai tidak percaya pun ada. Tapi aku masih ingin seperti dulu, membawa usrah dan menjadi sebahagian daripada pentarbiyahan. Aku tidak ingin hanya kerana jawatanku sekarang, aku jadi lupa diri, seperti Tsa’labah sahabat di zaman Rasulullah yang melupakan tanggungjawabnya kerana sibuk dengan gembalaan kambing. Jangan kau tinggalkan aku sendirian ya Rabbi..pimpinlah aku..bisik hatiku.

***

Pagi ini, pagiku seorang Menteri. Aku perlu berkejar ke negeri pantai Timur untuk merasmikan suatu program Perancangan Pertanian Karidor Timur. Jangkanya kehadiran kira-kira 2000 orang yang diwakili oleh syarikat-syarikat besar seluruh Asia. Namun hati kecilku sedikit tidak enak. Rasa seperti sesuatu yang buruk akan berlaku. Aku beristighfar minta dijauhkan perkara yang tidak elok. Setibanya di sana, jangkaanku tepat. Inilah masalahnya menyambung kerja dari kerajaan yang lepas. Pertanian hanya untuk dibuat untung semata. Sehinggakan ilmu asas untuk pertanian juga dilupakan. Bagaimana projek ternakan kambing yang diimport dari luar negara dibawa masuk tanpa disediakan kawasan ragutan. Mereka menyangka hanya cukup dengan pellet kambing-kambing ini akan gemuk dan sihat. Sungguh menjengkelkan. Mahu tidak mahu terpaksalah aku mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan ragutan sedang dalam proses penyelenggaraan, dan untuk sementara waktu rumput-rumput untuk kambing ini akan disediakan secara ‘cut and carry’. Mujurlah tidak ramai yang perasan tentang hal ini.

Alhamdulillah, selesai upacara perasmian, ramai pelabur syarikat asing bersedia untuk melabur di dalam projek ini. Kata mereka, mereka berkeyakinan dengan unjuran kewangan yang dibentangkan oleh Jabatan Pertanian Pasir Berdengung. Mujurlah aku dalam 2 hari lepas aku sempat meminta rakan sekuliahku yang kebetulan menjadi pengarah pertanian Pasir Berdengung untuk menilai semula unjuran kewangan yang telah disiapkan oleh kerajaan lepas. Kadang-kadang aku rasa penat terpaksa menghabiskan projek dan rancangan pembangunan kerajaan lepas, iya la aku juga ada angan-anganku untuk kementerianku. Masalahnya, jika aku sesuka hati membatalkan semua projek yang telah dipersetujui oleh kerajaan lepas, aku akan membuatkan orang lain di dalam kesusahan. Lagipun ini akan menyebabkan pembaziran jika projek tersebut terbengkalai. Aku dan rakan-rakan kementerianku memutuskan untuk meneruskan apa sahaja agenda yang dilihat mampu memajukan negara dan membantu rakyat. Jika ada penyelewengan dan korupsi, akan aku terminate projek tersebut serta merta. Jika boleh diubah, aku akan membatalkan beberapa perjanjian yang tidak berfaedah. Cuma, aku berisiko untuk membayar pampasan kepada syarikat tersebut. Huh! Penatnya berfikir, ini belum lagi bekerja sepenuhnya.

Setelah tamat upacara, aku bergegas pulang, hari ini, pemanduku membawa dengan perlahan atas permintaanku, kerana aku pening dan loya. Cis, dah jadi menteri pun masih sakit yang samakah. Sejak dari remaja, aku akan rasa loya dan muntah jika berada dalam keadaan tertekan. Entah kenapa, rakan sekelasku juga tahu hal ini. “orang tertekan sakit kepala, dia pula muntah-muntah”. Aku pun tak sedar bila ia bermula, cumanya yang aku tahu, inilah simptomku bila dalam keadaan stress. Sambil menikmati perjalanan, fikiranku mula menerawang memikirkan persamaan di antara pengurusan organisasi dakwah dan kementerianku. Ya, aku yakin banyak persamaan pengurusannya. Bermula dari ada ahli yang hard core, ahli biasa dan sebagainya. Begitu juga dengan kementerianku ada pegawai atasan, pegawai bawahan dan staf-staf biasa. Itu dari pengurusan organisasi, bagaimana pula dengan visi dan misinya? Hujahku sendirian.

“Sama ja lah Cik Husna. Setiap organisasi ada targetnya, jadi sebagai ketua aku kena pastikan semua gerak kerja menghala kepada tujuan dan objektif yang dipersetujui bersama. Hm..jadi kenapa tidak terminate sahaja semua projek kerajaan lepas? Buat yang baru. Hatiku berbisik”. Aku berfikir-fikir kenapa ya tidak terminate kesemuanya? Ya, aku takkan buat begitu kerana itu adalah sebahagian daripada proses pendidikan. Ayat mudahnya proses tarbiyah. Sepanjang berada di dalam organisasi dakwah, kulihat setiap orang mempunyai idealism mereka sendiri. Pertukaran kepimpinan berlaku setiap tahun, malangnya tidak ada kesinambungan antara tahun yang lalu dan tahun sekarang. Sebagai contoh, jika tahun ini membuat sistem A, maka tahun hadapan jadinya sistem C mungkin. Hasilnya produk kaderisasi yang dikeluarkan tidak konsisten. Ada yang terlalu keras dengan perjuangan politik semata, ada yang terlalu ruhiyah, ada yang menjadi ‘budak baik’ sahaja dan sebagainya.

Bagiku, proses ini mesti bersambung-sambung. Barulah akhir sekali akan dapat melahirkan satu generasi yang solid untuk memahami tarbiyah, politik dan dakwah. Begitu juga dengan kementerianku kini. Aku mesti cuba menambahbaik apa yang ada, membuang apa yang tidak patut. Bukan membuang semuanya dan terpaksa bermula dari zero. Aku mesti menilai sumber kekuatan yang ada di dalam kementerian, dan mengoptimumkan seluruh kepakaran yang ada untuk pertanian. Kubelek-belek jabatan yang ada di bawahku, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Jabatan Perikanan, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang, MADA, KADA, FAMA, Lembaga Kelapa Sawit, Lembaga Nenas Negara, Bank Pertanian dan berbagai lagi. Fuh!! Naik berpinar biji mataku melihat semua ini. Semua ini adalah materi dakwahku. Semua ini hamba Allah yang boleh dilenturkan hatinya. Aku mendapat idea untuk menyelaraskan kurikulum kepada semua pekerja yang berada di bawah jabatan.

Seperti apa yang kulakukan semasa menjadi Majlis Perwakilan Mahasiswa di universitiku, kami mewajibkan aktiviti keagamaan kepada semua persatuan dan kelab. Ini bermaksud paling kurang setiap persatuan tidak akan pernah melupakan unsur ketuhanan di dalam kehidupan mereka. Antara perkara yang wajib ialah iftar jamai’e, qiamullail dan pengisian mingguan. Hasilnya ketika itu, kampusku menjadi terkawal, kalau adapun yang sisa, masih boleh dikira dengan jari. Kata naqibku, Islam ini agama fitrah, semua manusia memerlukan agama untuk kehidupan mereka. Cuma, jika mereka tidak mendapat hak itu yang menyebabkan manusia mencari jalan keluar dengan cara yang salah. Berhibur berlebihan, membuang masa dan sebagainya. Namun, semua ini tidak mampu menenangkan diri mereka sepenuhnya.

Aku membiarkan udara segar terus menepuk-nepuk tubuhku. Segarnya udara kampung…aku memejamkan mata, mencari ketenangan di celah segala kekalutan. Akhirnya, aku terlena kerana kelelahan perjalanan yang panjang. Kesian drebarku, membawa kereta berseorangan. Aku tidak sampai hati sebenarnya, memang dari dahulu, jika ada yang memandu, aku tidak akan tidur kerana kasihankan drebar. Tapi hari ini aku tewas juga, membiarkan drebarku memandu keseorangan…lagu awan nano berkumandang mengisi suasana…zzzzzzz

***

Cik! Kita dah sampai. Kejut drebarku. Kuhayunkan langkah penuh longlai, rasa seperti mahu demam sahaja. Seluruh tekakku perit, dan hidungku mula berair. Sampai sahaja di katil, kurebahkan badan untuk seketika. Ada kerja lagi yang perlu dibuat. Kerja ummah yang tak pernah selesai. Usai mandi dan solat, aku meneliti jadual kerjaku. Ya Allah, padat sungguh esok hari. Bermula dengan mesyuarat dengan Jabatan Pertanian, seterusnya aku perlu bergegas ke Damansara untuk mesyuarat tergempar berkenaan protes daripada penternak berkaitan dengan tempat pembuangan sisa ladang. Sebelah petangnya aku perlu menghadiri perjumpaan dengan wakil dari negara Jepun untuk membincangkan ‘waste management of farm’ di mana semua orang ketahui, ladang di Jepun, adalah antara ladang yang tidak membuang sisa, ‘zero waste management’ dan ladangnya tidak berbau walaupun berada di tengah-tengah Bandar.

Usai perbincangan, aku merasa sangat sakit hati dengan penternak yang membuat protes. Sebelum ini, jika mereka membuat kesalahan selalunya akan dilepaskan dengan hanya membayar duit atas angin. Tapi di bawah kendalianku, semua mesti mengikut peraturan. Jangan ada yang culas. Sejak dari universiti aku bercita-cita untuk menguatkan penguatkuasaan undang-undang di dalam pertanian. Bukan sedikit undang-undang yang aku pelajari. Daripada akta haiwan mengikut negeri masing-masing, akta pemakanan dan perladangan, semua itu tidak pernah diaplikasikan oleh kementerianku yang dipegang oleh kerajaan lepas. Aku masih ingat seorang pensyarahku, Prof Madya Dr Loh Kee Chong, dia selalu berkata; “you all jangan ingat apa yang saya ajar ini tipu ya, saya memang ajar betul-betul tentang regulation, but if you stay in the industry, you can see, the regulation is zero. No enforcement!”. Inilah hakikatnya dunia pertanian yang aku galasi. Aku memahami apa yang pensyarahku cuba sampaikan. Dia hanya mampu mengajar, tetapi tidak mempunya kuasa. Tetapi hari ini, aku yang mempunyai kuasa mesti melunasi segala tanggungjawab ini.

***

“ Tak pernah sesaat daku meragui apa yang telah daku temui selama ini, tak pernah sesaat ku menyesali apa yang telah aku nikmati, apa kualami..selagi hayat dikandung badan..takkan kumenyerah kalah walau mimpiku musnah, harapanku hancur, sayapku patah, kan kupancarkan cahaya ke seluruh dunia yang gelap gelita, sehingga hembusan nafas yang terakhir….”

A.P.I –Pelita

Leka aku melayan lagu yang berkumandang di radio, sambil meneliti fail yang tersisa, aku dikejutkan dengan satu panggilan yang tidak dikenali. Katanya sejak aku menjadi Menteri Pertanian dan Perladangan, aku telah menimbulkan kesusahan kepada mereka. Aku yakin mereka ini mungkin sebahagian daripada penternak yang memprotes pada tempoh hari. Kata mereka, kerajaan yang dahulu lebih mudah untuk mereka cari makan, tetapi keadaan sekarang banyak menyusahkan mereka. Aku hanya mendiamkan diri, bukan tidak mampu berhujah, Cuma sia-sia. Mereka ini sangat mementingkan diri sendiri dan hanya ingin mengaut keuntungan. Sejak panggilan tadi, aku sedikit terganggu. Adakah jalan yang kupilih ini salah? Adakah memang benar semua orang tidak suka apabila kita menegakkan kebenaran? Adakah memang akan ada yang dengki apabila kita membuat kerja?..huh! keadaan ini saling tak tumpah seperti keadaan semasa aku aktif didalam organisasi dakwah. Kalau ada yang terlebih outspoken, yang tegas dan membuat kerja, maka golongan inilah yang tidak disenangi..aku hampir putus harap berkali-kali dengan sikap manusia. Kalau kita mengambil berat dan niat ingin membantu pun akan disalah anggap. Yang menghairankan aku, kalau ada ahli yang tidak membuat kerja, tidak membawa usrah, itu tidak mengapa. Kerana ahli itu dikira patuh kepada pimpinan.

Aku penat menghadapi situasi sebegini, kalau dahulu dilabel sebagai orang yang tidak ada adab, dilabel sebagai orang yang membelakangkan pimpinan, adakah hari aku sebagai menteri masih lagi dipandang serong? Ya Allah, cekalkan hatiku. Aku masih ingat pesan sahabat karibku, “sesebuah organisasi dan manusia di dalamnya boleh membuang kita bila-bila masa sahaja, namun Islam tidak pernah membuang kita, just keep go on. Kalau kita tidak membuat kerja Islam, sapa lagi yang kita harapkan? Mesti buat yang terbaik untuk Islam.” Hm..aku cuba mengulang-ulang ayat yang pernah disebut oleh rakan karibku. Keep spirit murabbiyah!! Chaiyok. Aku tersenyum semula, abaikan segala gangguan, yang penting kerja perlu diteruskan.

***

Deringan telefon mengejutkan aku, jam menunjukkan pukul 4 pagi. Pegawai keselamatan memberitahu ada orang memecah masuk pejabatku. Aku segera bergegas ke sana. Setelah membuat laporan polis, aku meneliti jika ada sesuatu yang hilang, namun tidak apa-apa. Semua fail masih elok tersusun, barang-barang berharga juga tidak hilang. Aku pulang ke rumah selepas itu. Pagi ini kurasakan satu perasaan yang aneh, perasaan akan meninggalkan semuanya, rasa sayu menusuk kalbu, entah mengapa ya sangat merindui ibu dan adik-adik di kampung. Aku menelefon mereka dan meminta maaf jika ada kesalahan, aku juga menelefon adikku yang berada di tempat pengajian. Memohon ampun dan maaf, dan meminta mereka menjaga ibu dengan baik. Dalam perjalanan ke pejabat, di sebalik kabus pagi, kumelihat arwah abahku melambai-lambai kepadaku. Syahdu sungguh pagi ini, aku masih ingat, minggu terakhir sebelum arwah abahku meninggal, aku menemani beliau melukis di bilik lukisan di rumah. Abahku bertanyakanku, bila besar nanti nak jadi apa, aku hanya menjawab ingin menjadi chef, sebab dapat masak yang sedap-sedap. Namun abahku menjawab, “abah nak along jadi orang yang memperjuangkan Islam, mati hidup semula pun, mesti dengan Islam”. Aku yang masih kanak-kanak belum dapat memahami apa yang dipesannya. Hari ini telah kutunaikan segala permintaan muabah…bisik hatiku. Aku akan berusaha sekuat mungkin untuk Islam agar dapat bertemumu di syurga kelak…tanpaku sedari air mataku membasahi pipi.

Setibanya aku di pejabat, aku meletakkan briefcaseku di atas kerusi. Aku membuka cd player yang memainkan alunan al-Quran, surah Isra’..aku sangat menyukainya. Tiba-tiba telefon di pejabatku berdering, aku mengangkat telefon dan Boooooom!!! Satu letupan telah berlaku di dalam bilikku..aku rasa kepalaku berpusing-pusing…sakitnya seluruh tubuhku. Ya Allah…La ilahaillallah...kugagahkan diri untuk melafazkannya. Aku melihat ibu dan adik-adikku mulai melambai kepadaku, mereka semua sedang beratur tersusun seolah-olah ingin menghantarku ke suatu tempat, dan ketika itu aku melihat diriku semakin menghampiri arwah abahku….Al Fatihah.

**Sesungguhnya solatku, hidupku, matiku hanyalah untuk Allah.