Monday, October 4, 2010

Belajar dari kehidupan orang lain

Selalu kita mendengar, rungutan dan omelan orang tentang ketidakpuasan hatinya terhadap apa yang berlaku didalam hidupnya. Mengapa orang lain senang mendapatkan sesuatu, mengapa orang lain dimudahkan segala urusan, mengapa orang lain tidak berusaha tetapi mendapat kejayaan yang lebih dan beribu lagi persoalan mengapa yang tak mampu di coretkan disini..

Menjalani kehidupan sebagai pelajar praktikal di ladang kambing ini memberikanku banyak pengalaman yang berharga terutama bagaimana mensyukuri dan menerima kehidupan seadanya. setibanya aku pada hari pertama bekerja, aku disambut oleh dua orang warga Bangladesh yang merupakan pekerja disitu. mulanya aku agak canggung nak bekerja bersama mereka, ye la bukan setakat jantina yang berbeza, malah bahasa dan negara juga membezakan kami. Seminggu pertama jenuh aku cuba memahami apa yang mereka cakapkan, bukan sebab mereka tidak bertutur dalam Bahasa Melayu, tapi Bahasa Melayu yang tunggang langgang membuatkan aku takut tersalah tafsir dengan apa yang mereka cuba sampaikan..

Selang beberapa minggu, kami dah biasa bersembang, dari sinilah aku mengetahui rupanya kebanyakkan Bangladesh bekerja dinegara orang bukan kerana suka-suka, tetapi negara mereka kekurangan kawasan dan tawaran kerja, ayat mudah 'negeri kecil, rakyat padat'. mendengarkan kisah bagaimana mereka ditipu oleh agen, kononnya datang bekerja di hotel, rupanya harus bekerja di kandang kambing. Nak lari ke Bangladesh? tak mungkin, mereka menghabiskan hampir RM13000 untuk datang bekerja, tak mungkin balik dengan tangan kosong. setelah bekerja, mereka pula seperti dianaktirikan...pekerja melayu yang sinonim dengan malas, akan buat kerja separuh jalan, bakinya? Bangladesh kan ada...huh begitu juga gaji, dipotong tanpa sebab...tapi apa boleh buat...inilah takdir mereka. Bagi mereka "Allah tahu apa yang mereka dah buat".

Salah seorang daripadanya memberitahuku dia datang kesini kerana dihantar oleh keluarga. Ini kerana semasa berada disana, dia terlalu nakal dan selalu mendatangkan masalah kepada keluarganya. Jadi ayahnya menghantar dia bekerja di Malaysia dengan harapan kehidupan baru ini memberi perubahan kepada dia. Mendengarkan kisah-kisah mereka mengingatkan aku rupanya ramai orang yang lebih teruk nasibnya berbanding diri sendiri. Apa yang penting, bagaimana mereka memandang kehidupan yang dilalui.

Bagiku pengalaman mengenali mereka memberiku pengajaran bahawa kebahagiaan kita , kita yang tentukan. Kalau asyik menyalahkan takdir dan memandang lemah diri sendiri, kita tidak akan kemana. Penghijrahan juga merupakan langkah yang baik untuk memajukan diri, lihat saja rakan sekerjaku yang dahulunya nakal, menyusahkan orang lain, hari ini mampu berdikari, mencari sesuap nasi dan menimba sejuta pengalaman. Doaku, semoga aku juga mampu menjadi sebaik mereka, sekurang-kurangnya meredhai apa yang sedang ku lalui...kerana hikmah disebalik kejadian itu terkadang lambat dilihat, cuma kita harus bersabar..everything happen, happen for reason-end

No comments:

Post a Comment